04 February 2012

MESTI BACA !! RUMAHTANGGA KU SYURGA KU


Kehidupan alam berumahtangga yang ditempuhi banyak cabaran dan dugaannya. Ia terpulang kepada suami isteri itu sendiri bagaimana untuk mencorakkan rumahtangga mereka selaras dengan konsep " RumahKu SyurgaKu ". Pokok pangkal jika kedua-duanya mempunyai ilmu dan mempunyai pegangan agama yang kukuh, segala cabaran dapat diatasi dengan bijaksana.

Memang menjadi impian setiap orang yang ingin mendirikan rumahtangga inginkan rumahtangganya seperti syurga. Jika ianya terjadi di dalam realiti kehidupannya, lahir di dalam kenyataan yang selama ini hanya angan-angan atau di dalam harapan semata-mata, sudah tentulah indahnya hidup berumahtangga dirasakannya.

Jika itulah realitinya, sudah pasti akan rasa tenang, selesa, senang, bahagia dan harmoni walaupun hidup di dalam kemiskinan. Kalau bukan kerana ada kewajipan yang membuatkan keluar dari rumah, sudah pasti tidak akan keluar rumah walaupun sesaat. Segala-galanya ada di dalam rumah. Bahkan di dalam rumah, iman akan diperolehi, akhlak mulia yang menceria dan memberikan cahaya kemuliaan.

Syiar Islam begitu teserlah. Apabila melihat isteri, hati terasa tenang kerana kesetiaannya. Melihat suami pula hati terasa tenang kerana bertanggungjawab terhadap isterinya. Itulah rumahtangga Islam. Rumahtangga yang menjadi syurga hasil perjuangan suami isteri Islam yang berkahwin kerana cita-cita Islam, untuk kemegahan Islam dan bukan kerana kemegahan diri. Inilah syurga sementara sebelum syurga yang menunggu di akhirat kelak yang sudah pastinya kekal abadi.

No comments: